Tumblr Mouse Cursors

Saturday, 28 May 2016

Berhijrahlah

"Dum dam dum dam", tepat jam 12 malam dan bunyi dentuman mercun begitu kuat dan meriah bagi menyambut tahun 2015. Maka, bersempena dengan tahun baru aku pun menyemat azam dan tekad yang baru untuk aku melakar kisah hidup yang indah dihujungnya nanti. Hari demi hari terus berlalu dan kini tiba masa untuk aku mengukir kejayaan iaitu masa untuk aku lakukan yang terbaik untuk SPM. Setelah tamat peperiksaan SPM aku merancang untuk mengikuti JDK Zon Utara yang akan berlangsung selama satu bulan di Batu Ampar Resort, Perak. 

Pada mulanya, aku hanya merancang untuk mengikuti JDK semata-mata. Aku tidak merancang untuk bekerja dan sebagainya. Sebaik sahaja program JDK tamat, aku teruskan kerja aku dengan mengendalikan program orientasi di sekolah lama aku bagi mencurah bakti dan tenaga. Setelah selesai orientasi, aku dapat satu sms dari rakan sekolah rendah yang mengajak aku untuk bekerja kerana terdapat kekosongan di tempat kerjanya. Rakan aku itu bekerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya. Lantas keesokan harinya aku terus pergi temuduga untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. Walaupun hakikatnya aku tidak merancang untuk bekerja tapi, setelah diterang oleh kawan aku dan aku berasa teruja dengan gaji yang ditawarkan kerana aku boleh memiliki apa sahaja sekiranya aku bekerja. Alhamdulillah, permohonan aku untuk bekerja diterima.

Pada 1 Februari 2016, bermulah pekerjaan aku sebagai juruwang di sebuah pasaraya. Minggu pertama aku bekerja disana aku masih tidak berasa apa-apa. Mungkin kerana aku belum kenal sesiapa disana kecuali pekerja-pekerja dibahagian juruwang. Kemudian, apabila sampai minggu kedua aku berasa terkejut sekali dengan suasana tempat pekerjaan aku dek kerana aktiviti sosialnya, pemikiran masyarakat disana, gaya hidup mereka dan bermacam lagi menjadikan aku seperti rusa masuk ke kampung. Tika itu, aku tiada pilihan dan aku terpaksa meneruskan pekerjaan aku. Sebaik sahaja aku pulang ke rumah, aku terus memberitahu ibuku yang aku tak mampu bertahan lama untuk bekerja di pasaraya tersebut dan aku ingin meletakkan jawatan pada hujung bulan. Tapi, ibuku membantah dan terus menerus menasihati aku supaya aku meneruskan sahaja bekerja disana buat sementara waktu. Aku pun menuruti perintah tersebut.

Semakin lama aku bekerja disana, makin banyak pengalaman yang aku dapat dan pelbagai corak kehidupan masyarakat aku perhatikan. Lama kelamaan, aku juga hanyut dilanda arus kehidupan masyarakat yang mengabaikan perintah tuhan dan kehidupan bersyariat. Pemikiran aku juga dihasut dengan agenda-agenda masyarakat. Tika itu, iman aku begitu goyah dan aku berasa lemah sekali. Aku gagahkan diri untuk terus bekerja disitu sehingga tibalah suatu hari, aku mendapat teguran dari seorang rakan aku. Dia berkata, "amin! sejak hg kerja ni hg byk berubahlah". Kata-kata tersebut begitu menyentap hatiku dan sebaik sahaja pulang ke rumah aku terus bermuhasabah. Sekian lama aku bermuhasabah, kemudian aku sematkan azam bahawa aku akan cuba untuk berubah dan melawan arus kehidupan disana. Tak kira walau apa jua keadaan sekalipun, aku harus mendepani cabaran tersebut. Buat pertama kali, usaha aku gagal. Aku terus mencuba berulang kali tapi gagal juga. Aku tidak dapat menafikan bahawa untuk istiqamah dalam perubahan itu mudah sebaliknya, sukar. Aku berjaya hanya untuk dua tiga hari tapi aku tak mampu untuk istiqamah hingga berhari-hari. Walhal ketika itu tutur bicara aku makin luntur adab, perkataan kotor makin meniti dibibir, pemikiran kotor juga makin diancam. Ya rabbi, berat sunggun ujian.

Disebabkan barangkali cubaan aku gagal maka, dengan rasminya aku membuat keputusan untuk meletakkan jawatan pada hujung bulan April. Tindakan ini kerana aku teringat akan pesana seorang sahabat semasa di JDK, "kalau kita gagal nak berubah pada tempat yg sama, kita kena berhijrah ke tempat baru dan carilah kawan baru". Kata-kata yang amat bermakna daripada peserta Kelantan, Amirul Asyraf. Setelah berakhir bulan April maka, dengan rasminya tamatlah pekerjaan aku sebagai juruwang.

Setelah aku berhenti daripada bekerja, pelbagai faedah yang aku peroleh. Antaranya, aku dapat konsisten dengan usrah mingguan. Maklumlah, masa bekerja aku amat sibuk dan kadang aku letih. Kerja juruwang di pasaraya sangat penat apatah lagi hujung bulan. Jumaat, Sabtu, Ahad wajib kerja overtime. Selain usrah, aku dapat luangkan masa bersama keluarga. Semasa bertugas sebagai juruwang, kisah hidup aku hanya di pasaraya. Bahkan, aku dapat menghadiri majlis- majlis ilmu di masjid dan di surau.

Aku sedar, bahawa pekerjaan bukanlah alasan untuk aku lari dari melakukan kebaikan tapi, jika suasana yang terbina disitu dan banyak masa dihabiskan disitu mengapa aku harus aku tunduk akan sistem disitu. Sedangkan diluar sana masih banyak pekerjaan yang boleh mendatangkan faedah bagi diriku. Jika kita tidak mampu untuk terus melakukan kebaikan dengan suasana yang kita hadapi maka, berHIJRAHlah ke destinasi baru dan carilah sahabat yang soleh. Walau apa jua keadaan di tempat kita, jangan pernah mengalah. Dari situ, aku belajar bahawa aku perlu bijak mengatur masa di alam pekerjaan suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment